Saturday, October 2, 2010

Cara Melupakan Kenangan Terhadap Seseorang

"Bagaimanakah caranya untuk melupakan kenangan manis terhadap seseorang?" Ini pasti satu soalan yang amat menyedihkan. Kadangkala kita suka atau sayang terhadap seseorang itu, tetapi sayangnya individu tersebut sering menyakiti atau mengecewakan hati kita. Saya kurang berminat untuk membicarakan soal hati dan perasaan, tetapi apabila ada orang bertanya, maka saya akan menjawabnya dengan harapan pandangan saya ini mampu mengubati hatinya yang telah terluka.Kenapa mesti kita melupakan seseorang itu? Bagi sesetengah orang, selagi imej atau kenangan atau ingatan terhadap seseorang yang telah mengecewakan atau menyakiti hati mereka sama ada secara langsung atau pun tidak, akan menyebabkan mereka bersedih. Justeru, seperti duri yang tertanam di dalam daging, duri itu mesti dicabut, ingatan tersebut mesti dibuang jauh-jauh. Dapatkah kita menghilangkan kenangan?

Kenangan tidak dapat dihilangkan, tetapi boleh dilupakan. Ini kerana otak manusia tidak berfungsi seratus peratus seperti cakera keras atau alat-alat penyimpan maklumat. Album gambar boleh dibakar, cakera keras boleh diformat semula menjadi kosong, tetapi ingatan manusia akan dibawa sampai ke mati. Jadi cara yang ada ialah melupakan, mengabaikan dan bukannya menghilangkan.

Seperti duri yang baru dicabut dari daging, rasa sakit atau derita untuk menghilangkan ingatan atau kenangan terhadap seseorang itu pasti ada. Kita mungkin berasa berat hati untuk melupakan seseorang kerana perasaan sayang yang masih ada. Kasih sayang yang terbentuk itu tidak semestinya hubungan cinta, tetapi mungkin juga hubungan persahabatan, hubungan persaudaraan atau hubungan antara ibu atau ayah dengan anak dan sebagainya.

Kenapa kita mesti melupakan kenangan? Ya, kerana kenangan mengandungi isi hati atau perasaan dan kerana itu ia boleh meruntuhkan pertahanan emosi seseorang. Sebab itu, ada seseorang yang tahu atau diseksa oleh kenangan menyebabkan dia menganggap kenangan, cinta atau kesetiaan terhadap perasaan ini sebagai musuh ketat. Hasilnya muncullah individu-individu yang berhati dingin, keras hati dan tidak berperasaan, yang hidupnya cuma memandang matlamat dan kejayaan.

Sibukkan Diri Dengan Aktiviti Berfaedah
Kita boleh melupakan kenangan-kenangan ini dengan menyibukkan diri kita dengan pelbagai aktiviti. Bersedialah untuk berkorban demi kejayaan. Bersedialah untuk melaksanakan tugasan dan tanggungjawab baru. Kesibukan akan menyebabkan kita perlahan-lahan dapat melupakan kenangan lalu.

Elakkan Diri Daripada Bersendirian
Perasaan sayang yang mendalam dan keterlaluan mungkin sukar untuk dibuang dalam masa yang singkat. Untuk itu, elakkan diri kita daripada bersendirian. Carilah orang untuk berbicara, dan suatu masa nanti kita akan menemui nilai-nilai tertentu dalam diri orang-orang yang bertemu dengan kita, dan nilai-nilai ini akan mengubati luka akibat kesan kekecewaan, sakit hati yang telah diperkuatkan oleh kasih sayang kita terhadap orang yang ingin kita lupai.

Elakkan Persoalan Berkaitan Orang Yang Ingin Dilupai
Ada individu, apabila kecewa dengan seseorang, dia akan pergi menjauhkan diri daripada orang ramai, daripada kawan-kawan. Dalam sesetengah kes, ini benar sekiranya tujuan dia untuk mengelakkan daripada dikaitkan dengan soalan-soalan berkaitan dengan orang yang ingin dilupai. Namun, cubalah sedaya upaya minta orang lain menghormati pendirian anda.

Pulangkan Atau Buangkan Segala Barangan Yang Mengandungi Nilai Perasaan
Kadangkala kita melupakan seseorang bukan kerana kita benci lantaran perasaan kecewa kita terhadap seseorang itu, tetapi kerana masih ada nilai perasaan dalam kenangan-kenangan tertentu yang ingin kita lupakan. Nilai-nilai inilah yang menjana perasaan sedih dan murung dalam hidup kita. Sebab itu, ada orang yang mengambil langkah pantas dengan memadamkan semua benda yang boleh mengembalikan ingatan atau kenangan terhadap orang yang ingin dilupai. Cenderamata, hadiah, surat atau foto dibuang atau dibakar. Perasaan berat hati dilawan dan ditentang demi kebahagiaan pada kemudian hari.

No comments:

Post a Comment